Minggu 10 Hari Ketiga
Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan, iaitu dua daripada beberapa dasar penting dalam proses
pembinaan negara, iaitu proses yang diperlukan oleh negara yang baru mencapai
kemerdekaan untuk membentuk acuan dan sifat kenegaraannya. Kedua-dua dasar
kenegaraan itu, bersama-sama dengan satu dasar lain, iaitu Dasar Kebudayaan
Kebangsaan mewakili aspek dalaman atau aspek kerohanian rakyat Malaysia, iaitu
aspek yang menayangkan pandangan sarwa, sistem nilai, pemikiran dan adab
bangsa. Dasar-dasar itu, bersama-sama dengan dasar lain dalam bidang yang
mewakili aspek jasmaniah atau fizikal, iaitu Dasar Ekonomi Baru (kemudian Dasar
Pembangunan Nasional) menjadi tonggak proses pembinaan negara yang telah
disebut sebelum ini.
Dasar
Bahasa Kebangsaan di Malaysia dilaksanakan dengan berasaskan undang-undang
negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa
Kebangsaan, sementara Akta Pendidikan (mulanya Akta Pelajaran 1961 dan kemudian
Akta Pendidikan 1996) berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar utama sistem pendidikan negara. Badan yang diberi amanah secara
khusus merancang bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan
berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (mulanya Ordinan Dewan Bahasa dan
Pustaka 1959 dan kemudian Akta Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan
dan Peluasan 1995).
No comments:
Post a Comment