Minggu 10 Hari Kelima
Perancangan bahasa di Malaysia, sebagaimana yang telah saya
sentuh lebih awal, secara rasmi telah bermula satu tahun sebelum kemerdekaan
apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah
pembentukan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu
sebagai salah satu tonggaknya, iaitu sebagai bahasa penghantar utama. Usul
Jawatankuasa Razak berserta usul penegasan Jawatankuasa Rahman Talib (1960)
telah dijadikan asas Akta Pelajaran 1961 yang selama puluhan tahun menjadi asas
pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini; malah Akta Pendidikan
1996 yang menggantikan Akta Pelajaran 1961 pun mengekalkan semangat yang
diusulkan oleh Penyata Razak. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut
Bahasa pada tahun itu juga merupakan usaha perancangan bahasa yang dilakukan
oleh Kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi
pembinaan negara.
Sehingga
kini, sudah lebih setengah abad Malaysia membangun dengan berasaskan bahasa
Melayu sebagai wahana komunikasi utamanya, terutama dalam bidang pentadbiran
dan pendidikan, dan secara beransur-ansur dalam bidang undang-undang dan
kehakiman serta swasta. Dalam Wawasan 2020 (wawasan pembangunan negara Malaysia
untuk menjadi negara maju sepenuhnya pada tahun 2020) ada diungkapkan gagasan
pembinaan negara maju dengan berteraskan acuan sendiri. Maka peranan bahasa
Melayu sebagai wahana komunikasi pembangunan haruslah merupakan salah satu
unsur penting dalam pemenuhan gagasan itu. Pembangunan yang berteraskan acuan
sendiri bererti menjadikan budaya setempat sebagai unsur atau ciri utama
pengisian kegiatannya, dan dalam konteks budaya, bahasa adalah tunjangnya.
No comments:
Post a Comment